Search This Blog

Sunday, December 19, 2010

Sorakan Semangat dan Nilai Perpaduan

          Diri ini berkobar-kobar untuk berkongsi perasaan serta pengalaman buat difikirkan bersama teman-teman pemikir di luar sana kecil isunya tapi besar ertinya.Setelah menerusi alam kehidupan ini selama 24 tahun usianya dan mula mengorak langkah ke usia 25,perlawanan separuh akhir pertama di antara negara tercinta MALAYSIA bertemu Vietnam cukup memberikan sejuta makna dalam diri ini sebagai generasi muda yang sangat mengharapkan untuk melihat negara MALAYSIA yang membangun serta terbilang.Apapun diri ini ingin mengucapkan sekalung tahniah serta penghargaan buat pasukan bolasepak negara yang berjaya melakar sejarah penantian selama 14 tahun untuk ke pentas akhir piala AFF Suzuki.2 gol jaringan dari penyerang berbakat negara serta kekuatan jentera pertahanan cukup gah dalam mengekang kemaraan pasukan Vietnam.Tahniah sekali lagi,diri ini sebagai rakyat Malaysia bangga dengan anda dan teruslah membanggakan kami di pentas final nanti.

          Semasa perlawanan separuh akhir pertama ini,diri ini berpeluang bersama teman seperjuangan di zaman universiti dulu menonton menyaksikan perlawanan yang cukup bersejarah ini.Disaat dan ketika inilah,laju berlegar-legar di benak pemikiran ini bagaimana sorakan semangat ini cukup merentasi NILAI PERPADUAN di Malaysia.Bermula dengan laungan gempita nyanyian lagu NEGARAKU oleh kira-kira 50 000 penyokong setia yang memberikan sumbangan buat menjadi pembakar semangat pasukan negara,sudah cukup membuatkan diri ini sebak seketika serta terharu dengan nyanyian lagu bermakna ini dengan penuh semangat dan pengharapan dalam melihat Malaysia berjaya.Sepanjang perlawanan 90 minit,ribuan penyokong tidak kering gusi melontarkan suara-suara kecil mereka buat menjadi azimat pasukan negara dalam berjuang memburu kemenangan.

          SORAKAN SEMANGAT ini datangnya dari individu pelbagai usia tuan dan muda,bujang mahupun berkeluarga,cerah mahupun gelap serta yang berlainan ideologinya dan latar belakangnya.Namun masing-masing berpadu suara serta keringat untuk menyaksikan hanya yang terbaik dari pasukan Malaysia.2 gol jaringan kemenangan membuat diri ini fikir dan terus berfikir,walaupun tidak pernah bersua mahupun bertegur sapa namun insan-insan yang duduk bersebelahan dan berdekatan bersorak gembira,berpelukan bertamparan menari riang bersama-sama meraikan jaringan ini.Sebuah PERPADUAN yang tidak dapat diri ini lihat dimana-mana.Ia bukan dibuat-buat atau direka-reka tapi pemandangan yang indah ini cukup mengasyikkan jiwa ini.

         Setelah pulang ke rumah,diri ini tertanya-tanya mengapa SORAKAN SEMANGAT ini tidak ditunjukkan di dalam setiap perilaku dan tindak tanduk masyarakat MALAYSIA di luar stadium terutama kepada semua insan yang bergelar ahli PARLIMEN serta ADUN.Berpadulah dan bergeraklah bersama merentasi ideologi masing-masing yang bersikap egosentrism di mana masing-masing menyatakan bahawa ideologinya adalah yang terbaek berbanding insan lain.Mengapa tidak duduk dan bekerja bersama tanpa mengira parti apa yang anda wakili cuma yang penting masing-masing mempunyai hala tuju yang jelas serta ikhlas untuk melihat MALAYSIA yang berjaya.Janganlah diiyakan sahaja usul yang akan merugikan negara dan janganlah dibangkang berterusan jika usul datangnya dari parti bertentangan walaupun usul tersebut hanya demi kebaikan negara.Marilah kita sama-sama berfikir dan terus berfikir.

          Di akhir coretan ini,diri ini ingin menyeru dan mengajak semua rakyat MALAYSIA ke stadium negara,Bukit Jalil pada 26 atau 29 Disember ini untuk memberikan SORAKAN SEMANGAT buat pasukan negara serta melihat NILAI PERPADUAN yang bukan dibuat-buat atau direka-reka di sana.Tahniah sekali lagi buat pasukan negara dan diri ini sentiasa mendoakan kemenangan yang akan dikecapi di akhirnya.

Friday, December 17, 2010

Kahwin oh Kahwin

          Saban hari,semakin ramai teman-teman rapat mahupun sahabat handai mengakhiri zaman bujang mereka.Satu demi satu senyuman terukir dari raut wajah kedua-dua mempelai atas terbinanya mahligai indah yang dibina bersama.Diri ini sentiasa mendoakan agar hubungan suci serta masjid yang dibina ini kekal hingga keakhirnya dan memperoleh sebuah keluarga yang bahagia yang sentiasa didambakan oleh diri kamu diri ini dan setiap insan di muka bumi ini.Hadapilah segala cabaran dan rintangan dalam perhubungan ini dengan senyuman dan kecekalan hati yang tinggi.Di akhirnya pasti kedamaian akan dikecapi.

         Memberi nasihat serta pemikiran buat difikirkan bersama tapi ironinya diri ini belum tentu lagi hala tujunya hehe...hubungan yang terjalin bersama seorang insan bak bidadari hati yang tiada galang gantinya, Nur Sharmilla sudah hampir 6 tahun usianya.Diri ini sentiasa berdoa dan terus berdoa agar hubungan ini diberkati dan diredhai agar mahligai yang sentiasa diimpikan akan terbina di suatu hari nanti.Bukan mudah mengharungi liku-liku hubungan ini,penuh suka dan duka asam garam kehidupan.Namun adakah diri ini sudah cukup bersedia untuk menamatkan zaman bujang???

          Terlalu banyak yang perlu difikirkan sebelum diri ini mengorak langkah ke fasa yang berikutnya dalam kitaran kehidupan ini.Diri ini perlu cukup bersedia mental dan fizikal sebelum mengambil keputusan untuk mengorak langkah.Diri ini percaya muda mudi diluar sana juga sependapat dengan diri ini berkahwin di zaman ini memerlukan belanja yang besar.Diwaktu baru mula merangkak memasuki alam pekerjaan,terlalu banyak yang perlu difikirkan.Kemudahan asas yang perlu disediakan buat sang puteri berteduh dari hujan panas,kemudahan untuk bergerak ke sana kemari bertemu keluarga sahabat serta ke tempat kerja.Tambahan diri ini masih belum sempat lagi untuk membalas jasa keluarga terutama ibu tercinta yang tidak pernah kenal erti penat mahupun putus asa dalam membesarkan diri ini yang memang BESAR hehe..

          Hmmm...jika difikirkan memang terlalu banyak perkara yang berlegar-legar di fikiran.Namun diri mesti mempunyai keazaman.Diri ini sentiasa berdoa agar Yang Maha Kuasa memberi petunjuk dan memudahkan perjalanan dalam membina hubungan yang suci ini.Dimana ada kemahuan semestinya tentu ada jalan mahupun highway.Buat sang puteri,diharap sentiasa bersabar dan sentiasa berdoa agar diri ini mempunyai sepenuh kekuatan untuk menempuh cabaran ini.Sesungguhnya keluarga dan dirimu sentiasa menjadi pembakar semangat mahupun keringat agar kaki ini terus menongkah arus kehidupan.Buat sang pemikir serta teman,marilah maju kehadapan bersama dan memperoleh kehidupan yang sempuna di dunia jua di akhirat sana.

Sunday, December 5, 2010

Jauh kaki melangkah,luas pandangan serta pemikiran

                Rindu rasa di hati lama rasanya diri ini tidak meninggalkan sebarang coretan mahupun tinta peribadi di ruangan ini.Diri ini terpaksa mengembara pulang ke kampung halaman yang tercinta demi bersama mama serta keluarga tercinta.Diri ini ingin berkongsi suka dan duka pengalaman merantau dari utara ke tengah ibu kota menaiki motorsikal Yamaha FZ150i pemberian mama tercinta.Berkat doa ibu tercinta,insan yang tersayang serta kawan-kawan yang mengingati,diri ini selamat sampai di teratak buruk yang telah didiami untuk 20 tahun sehingga saat coretan ini ditinggalkan.

                Perjalanan yang mengambil masa 4 jam lamanya menaiki motorsikal berseorangan diri di atas lebuhraya yang terbentang luas cukup meninggalkan seribu makna suka dan duka.Sepanjang perjalanan diri ini hanya ditemani rintik-rintik hujan yang ada kalanya perlahan dan ada kalanya turun laju mencecah bumi membuatkan diri ini berfikir dan terus berfikir betapa bertuahnya insan yang memiliki kenderaan yang berbumbung demi berlindung dari hujan dan panas sepanjang perjalanan.Syukurilah nikmat yang ada kerana ketahuilah masih ramai lagi di luar sana yang terpaksa berpanas hujan sejuk serta dingin hingga ke tulang demi merentasi alam indah ciptaan Ilahi ini.Biarpun dengan hanya kenderaan buatan pertama negara dilahirkan pada tahun 1985 yang bernama SAGA, ia sudah memadai buat seisi keluarga beristirehat melihat keindahan bumi Tuhan ini.

                Buat sang pemandu motorsikal,berhati-hatilah di jalan raya ingatlah jiwa-jiwa yang menyayangi dirimu yang sentiasa menantikan diri mu selamat ke tempat yang dituju. Diri ini sedar setelah mengharungi perjalanan ini,sang pemandu motorsikal sangat berisiko bertemu dengan kemalangan bukan hanya kerana kecuaian diri tetapi banyak faktor seperti cuaca,keadaan jalan,kecuaian pengguna jalan yang lain dan bermacam lagi.Buat pengguna jalan yang lain,berhati-hatilah dan ingatlah ada pengguna yang menaiki motorsikal juga menggunakan jalan yang sama.Sayangi nyawa kita serta hargailah nyawa insan lain.Bagi yang ingin merantau jauh,minimumkanlah penggunaan motorsikal kesayangan anda dan gunakanlah pengangkutan awam yang ada.Bukan tidak mempunyai jiwa “merempit” tetapi risikonya tetap besar wahai rakan-rakan yang bermotorsikal.MENCEGAH ADALAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI.